Orang Yang Tak Sadarkan Diri
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rusak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rusak di antara mereka" (HR Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula, padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka "Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung" (HR Tirmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (coba membetulkan) hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat bertanya "Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab "Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang ramai" (HR Ibnu Majah)
Daripada Tsauban r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka" Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah karena kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab "Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahn'. Seorang sahabat bertanya "Apakah 'wahn' itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab "Cinta dunia dan takut mati" (HR Abu Daud)
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW "Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali " (HR Al-Baihaqi)
Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka" Sahabat bertanya "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?" Nabi SAW menjawab "Siapa lagi?" (HR Muslim)
Dari Sahl bin Saad as-Sa 'idi r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan daku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab" (HR Ahmad)
Daripada Abdullah bin Amr bin 'Ash r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya.
Miqdam bin Ma'dikariba r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan, dan apa yang ia haramkan kami haramkan" (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) "Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT" (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid" (HR Abu Daud)
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat" (HR Ibnu Majah)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu" Sahabat bertanya "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab "Penyakit-penyakit itu adalah,
1.Terlalu sombong,
2.Terlalu mewah,
3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin,
4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
5.Saling memarahi,
6.Dengki-mendengki
sehingga menjadi zalim menzalimi" (HR Hakim)
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya" (HR Ibnu Majah)
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW, "Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal atau pun haram" (Riwayat Muslim)
Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain, sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi" (HR Ibnu Majah)
Daripada Anas r.a. beliau berkata "Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan" (HR Bukhari Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ''Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Dari Aisyah r.a. beliau berkata "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
Miqdam bin Ma'dikariba r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan, dan apa yang ia haramkan kami haramkan" (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) "Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT" (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar